Thursday, May 17, 2012

Jualan telefon merosot, Samsung atasi Nokia

SAN FRANCISCO: Jualan telefon mudah alih di seluruh dunia mengalami kemerosotan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berikutan permintaan lemah di pasaran Asia, menurut laporan pemerhati industri, Gartner.

Sejumlah 419.1 juta telefon mudah alih dibeli di seluruh dunia dalam suku pertama tahun ini, iaitu kemerosotan dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
 Menurut Gartner, ia adalah kemerosotan pertama sejal awal 2009.
Gergasi Korea Selatan, Samsung menjadi pembekal utama telefon mudah alih dalam tempoh itu, mengatasi Nokia dari Finland yang mendahului sejak 1998.

Samsung menjual 86.6 juta telefon mudah alih iaitu peningkatan 25.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Samsung juga merampas semula kedudukan nombor satu dalam pasaran telefon pintar daripada pembuat iPhone, Apple, dengan menjual 38 juta telefon pintar dalam suku pertama tahun ini daripada keseluruhan 144.4 juta.

Telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android keluaran Google mencakupi 56 peratus pasaran dunia atau 81.07 juta telefon pintar disusuli iOS sebanyak 22.9 peratus atau 33.12 juta unit. - AFP

Friday, May 11, 2012

Penyakit baru - Fobia tanpa telefon [Nomophobia]



Masyarakat zaman moden kini berdepan dengan sejenis penyakit baru yang dikenali sebagai nomophobia atau fobia tanpa telefon.

Dianggarkan lebih 66 peratus daripada penduduk Britain kini memilih untuk 'bersama' dengan telefon sepanjang masa dan tidak boleh berpisah dengan alat telekomuniskasi itu walaupun sekejap.

Antara tanda-tanda seseorang itu berdepan dengan masalah nomophobia adalah tidak boleh mematikan telefon, sentiasa memeriksa panggilan tidak dijawab, mesej pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

Mereka yang menghadapi masalah itu juga dikatakan kerap mengecas bateri dan tidak boleh meninggalkan telefon mereka walaupun untuk ke tandas.

Dalam tinjauan terbaru yang dijalankan oleh SecurEnvoy ke atas 1,000 responden di United Kingdom, sebanyak 66 peratus daripada penduduk negara ini menghadapai masalah tersebut.

Golongan muda berumur antara 18 hingga 24 tahun adalah kelompok yang paling ramai mengalami masalah itu apabila 77 peratus daripada mereka tidak boleh berpisah dengan telefon walaupun untuk beberapa minit.

Mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun pula adalah golongan kedua tertinggi yang menghadapai masalah fobia tanpa telefon dengan jumlah 68 peratus.

Kajian itu turut mendedahkan purata orang Britain akan memeriksa telefon mereka 34 kali sehari dan 75 peratus pula menggunakan telefon di dalam tandas.

Pengasas bersama SecurEnvoy, Andy Kemshall berkata, kajian pertama mengenai nomophobia dilakukan empat tahun lalu dan didapati sebanyak 53 peratus daripada penduduk Britain menghadapi masalah itu. - AGENSI