Kota Murmansk disinari cahaya matahari 24 jam sepanjang Ramadan
Buat pertama kalinya dalam masa beberapa puluh tahun, Ramadan tahun ini
berlangsung ketika musim panas yang dianggap paling sukar hingga ada
tempat penduduk Islam hanya berbuka selepas 20 jam.
Selain musim panas kali ini disifatkan sebagai paling panas, ia juga menyebabkan tempoh berpuasa lebih panjang setiap hari.
Di bandaraya pelabuhan barat laut Russia, Murmansk, penduduk Islam di
sana berpuasa dan berbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan.
Murmansk ketika ini disinari cahaya matahari selama 24 jam, bermakna
tidak ada waktu yang jelas bagi penduduk Islam di negara itu untuk mula
berpuasa dan berbuka.
Imam Besar Dubai, Dr Ali Mashael berkata, penduduk di wilayah berkenaan
perlu berpuasa mengikut waktu yang sama dengan negara paling hampir
kepada mereka yang mempunyai waktu siang dan malam yang jelas.
Ikut negara paling hampir
Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi seperti ini penduduk kawasan
terbabit perlu mengikut waktu Imsak, Subuh dan Maghrib di negara yang
paling hampir kepada mereka sebagai sumber rujukan.
Di bahagian lain di dunia turut menyaksikan umat Islam berpuasa 20 jam
sehari terutama mereka yang tinggal di Reykjavik, Iceland. Sama dengan
ibu negara Denmark, Copenhagen di mana penduduk Islam yang menjadi
masyarakat minoriti berpuasa selama lebih 19 jam.
Di bandaraya berjiran Scandinavia, Helsinki, Finland tempoh berpuasa di
sana juga hampir 19 jam manakala Holland dan London masing-masing adalah
18 dan 17 jam.
Dr Mashael berkata, walaupun puasa selama 17 hingga 20 jam disifatkan
sebagai terlalu lama tetapi umat Islam tiada pilihan selain mengikut
waktu matahari terbit dan terbenam di tempat masing-masing untuk berbuka
atau bersahur.
Pendapat cara berbuka
Katanya perkara itu dijelaskan dalam Firman Allah dalam Surah Al Baqarah
ayat 187 yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata
kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan
malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga
maghrib.”
Bagi negara atau bandaraya di mana waktu siang atau malam mereka adalah
24 jam, Dr Mashael berkata, ada dua pendapat mengenainya. Pertama
seperti yang diterangkan dalam ayat suci itu manakala kedua mengikut
waktu berpuasa Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Ia berbeza dengan penduduk di Buenos Aires, Sydney dan Cape Town yang
paling pendek tempoh berpuasa iaitu 12 jam manakala di Comodoro
Rivadavi, Argentina, tempoh berpuasa adalah 11 jam. - Agensi
No comments:
Post a Comment